Wizurai's Slide

Isnin, 21 November 2011

Helikopter baru TUDB


Gambar fail helikopter Blackhawk S-70i


BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov - Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini mengumumkan penganugerahan kontrak bagi pembekalan 12 pesawat helikopter jenis Blackhawk S-70i untuk menggantikan pesawat-pesawat helikopter Bell 212 dan BO 105 yang sedang digunakan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pertahanan Hajah Suriyah Haji Umar berkata, keputusan untuk menganugerahkan kontrak kepada Syarikat Sikorsky International Operations Inc itu dicapai hari ini setelah tempoh penilaian teliti dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dari syarikat-syarikat yang menyertai tender bagi projek berkenaan.

Beliau berkata, helikopter itu akan mempertingkatkan lagi keupayaan bahagian rotari Tentera Udara Diraja Brunei dan memenuhi keperluan single wave tactical air lift seperti yang dikenal pasti dalam Kertas Putih Pertahanan 2007.

"Penghantaran pesawat-pesawat baru tersebut sudah pasti akan meningkatkan lagi keupayaan ABDB dalam menggerakkan anggota tenteranya bagi operasi-operasi ketenteraan dan kemanusiaan serta memenuhi tanggungjawab setempat dan antarabangsa," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini.

Hajah Suriyah berkata, pada Februari 2011, Kementerian Pertahanan melalui Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi (P3ST) telah menjemput 4 buah syarikat terkemuka bagi menghadapkan tawaran-tawaran mereka bagi projek berkenaan.

"Tawaran ini memerlukan syarikat-syarikat ini untuk menyediakan cadangan inovatif dan bersesuaian untuk memenuhi keperluan misi-misi ketenteraan ABDB.

Pada Julai 2011, Kementerian Pertahanan telah menyenarai pendekkan Sikorsky International Operations Inc dan Eurocopter SAS, hasil penilaian terperinci ke atas semua tawaran-tawaran tersebut."

Menurut beliau, pesawat-pesawat itu dijangka dihantar ke Negara Brunei Darussalam dalam tempoh 2013 hingga 2015.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kriteria bagi penilaian penganugerahan kontrak, Pengarah P3ST, Kolonel (L) Muzri Mokshin berkata penilaian dibuat dari pelbagai sudut termasuk dari sudut keupayaan dan sokongan di mana hasil dari penilaian teliti dan menyeluruh yang dibuat dihadapkan kepada Kementerian Pertahanan bagi penelitian serta keputusan bagi penganugerahan kontrak.

Beliau juga mendedahkan kelebihan Sikorsky International Operations Inc menghantar pesawat lebih pantas daripada pesaingnya memberikan fleksibiliti dari segi jumlah pesawat yang diperlukan.

Manakala itu, Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Jofri Haji Abdullah menyatakan bahawa dengan adanya pesawat-pesawat baru itu, kata beliau, setentunya akan membantu meningkatkan keupayaan Tentera Udara Diraja Brunei bukan sahaja bagi operasi-operasi ketenteraan tetapi juga operasi kemanusiaan.

- Petikan dari Media Permata Online Rabu 16 November 2011M.


My Comment:

Pada rangkap awal dinyatakan bahawa pembelian 12 buah helikopter Blackhawk S-70i adalah "untuk menggantikan pesawat-pesawat helikopter Bell 212 dan BO 105". Rasanya terlampau sayang untuk melucut-tauliahkan kedua-dua jenis helikopter ini. Rasanya lebih elok jika:

1. Pesawat Bell 212 digunakan oleh Kementerian Pertahanan/ABDB sebagai helikopter ambulans dengan beberapa perubahan/modifikasi dan diletakkan di bawah skuadron baru (Misalnya: No. xx Air Medic Squadron) atau sebagai Airborne Firefighting Helicopter juga di bawah skuadron baru (Misalnya: No. xx Airborne Fire Fighting Squadron)

2. Pesawat Bell 212 digunakan untuk non-military special operation seperti Police Ranger, Kastam, Bomba & Penyelamat, KDN dan BKN tetapi masih di bawah kawalan TUDB/MinDef

3. Pesawat BO 105 digunakan oleh Regimen Gerak Khas ABDB atau Special Operation Section Polis Diraja Brunei tetapi masih diletakkan di bawah TUDB dengan skuadron baru (Misalnya: No. xx Special Operation Air Squadron)

4. Pesawat BO 105 juga boleh dijadikan Air Assault Helikopter dengan pemasangan roket anti kubu/kereta kebal atau machine-gun di kedua-dua tepi helikopter seperti AH-6 Little Bird milik 160th Special Operation Air Regiment US Army (lihat cerita Black Hawk Down)

Setakat ini kekuatan pertahanan udara kita masih bergantung kepada sistem pertahanan udara darat dan sistem pertahanan udara di kapal-kapal TLDB.


1 ulasan: